Monday, May 23, 2011

Aku juga insan biasa...

Dalam menjalani ranjau duka ini, sering kali aku terfikir, "salahkah aku melakukan semua itu?". Sering kali juga aku terfikir, adakah semua akibat yang terpaksa aku lalui itu kesan daripada perbuatan aku yang lalu? Atau sekadar untuk membalas kesakitan dan keperitan yang mungkin disalurkan dahulu?
Mungkin juga memang itu salahku. Dalam sedar ataupun tidak. Akan tetapi, bukankah semua tindakan dan kemahuan itu terbit dari diri kita? Entahlah..Aku bingung memikirkan rencah-rencah hidup yang pahit, duka, suram..
Terkadang, aku juga buntu memikirkan bahana yang aku lalui sekarang. Tiadakah maaf yang dapat aku terima dari dia yang bernama insan seperti aku? Berapa lamakah penyesalan dan kesedihan aku harus lalui?
Pelbagai persoalan timbul di kala aku sendirian. Namun, hatiku harus kuat untuk menerima akibat. Cuma, sejauh mana dan selama mana aku dapat bertahan untuk berpura-pura bahagia tanpa dia dan sehebat mana kepura-puraan yang dapat aku pamerkan di wajahku?
Seringkali juga aku terfikir untuk menamatkan riwayat kisah duka ini. Tetapi bagaimana dengan keluargaku? Ibuku terutamanya. Aku harus ingat tanggungjawabku masih lagi terbeban dibahu kanan dan kiriku. Tanggungjawab yang aku rasa penting dalam memimpin mereka ke arah kebahagiaan. Gelora hati dan badai ombak harus aku tutup dengan kemanisan dan kekuatan zahirku. Aku harus kuat!
Sangkaku hanya seketika, tetapi aku silap mengorak langkah dan mengira tempoh. Sejauh mana aku dapat bertahan? Sedalam mana dapat aku sembunyikan? Sekuat mana tembok dan dinding penghalang yang aku bina untuk menutup segalanya?
Aku juga insan biasa. Ada pasang surutnya. Ada naik turunnya. Ada pahit manisnya. Ada suka dukanya tersendiri. Aku hanya insan biasa, lemah dan mudah untuk retak sejuta cebisan. Cebisan yang tidak dapat ditampal dengan hanya tangisan dan gelak tawa yang menyusul. Aku hanya insan biasa....
Cukuplah sekadar menjadi luahan. Tidak sekali ingin kujadikan api untuk dia terima tempiasnya. Fahami aku.. Maafkan aku sekali lagi.. Maafkan aku......

No comments:

Post a Comment