Tuesday, February 8, 2011

Marah!!!

Seseorang pernah menasihati saya agar sentiasa bersabar dan berdoa pada Tuhan agar dilembutkan hati yang sedang membara marah. Saya juga dinasihatkan untuk berwudhuk dan menunaikan solat sunat taubat sekiranya wujud rasa marah dan seperti ingin melakukan sesuatu yang seharusnya kita elak.

Seseorang juga telah memberi satu pesanan ringkas kepada saya yang berbunyi seakan begini: "Simpanlah rasa marah di poket seluarmu.." Saya berfikir..'Kalaulah boleh saya simpan atau buang rasa marah sebegitu mudah, alangkah bagusnya!'. Kerana apa? Kerana saya memang bersifat pemarah dan panas baran. Maklumlah, sifat api dan besi yang kuat ada dalam diri saya!

Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk sentiasa marah atau sering mudah tercetus api apabila apa yang tidak kena berlaku. Betul tak?

Pernah satu hari saya bergaduh dan bertikam lidah dengan salah seorang ahli keluarga saya. PErgaduhan dan pertelingkahan yang agak hebat sehingga boleh timbul perasaan ingin membunuhnya! Alangkah terpaksa saya menahan diri daripada perkara itu terjadi! Memang mengejutkan apabila perasaan itu hinggap dalam hati saya yang sedang bergelojak dengan api dan bara. Nasib baiklah saya dengan dia berada jauh (saya di ruang tamu dan dia di dapur). Ada juga sejenak saya terlintas, 'kalau aku kat dapur nie, senang betul aku capai pisau dan bunuh dia!'. Sampai begitu sekali api kemarahan saya meluap-luap!

Oleh kerana fikiran waras saya masih berfungsi, saya tetap tidak berganjak dari kedudukan saya ketika itu dan daripada saya sedang berdiri kepada saya duduk bersimpuhdi hadapan televisyen. Saya teguk air dan beristighfar di dalam hati untuk menenangkan diri. Saya terus menonton televisyen yang kebetulan sedang menayangkan rancangan kesukaan saya.

Ketika itu, saya terlupa bahawa saya belum menunaikan solat Zuhur sehinggalah ibu saya pulang dan mengingatkan saya tentang itu. Saya terus berwudhuk dan menunaikan solat. Sebaik sahaja air wudhuk singgah ke kulit saya, air mata secara tiba-tiba mengalir deras dan tidak henti-henti! Begitu sekali penangan air wudhuk ke atas saya! Lalu saya sedar, kemarahan itu adalah api yang memang boleh dipadamkan dengan air wudhuk yang suci itu.

Ketenangan berada di mana-mana. Kita harus bijak mencarinya...

Kadang kala......

Terkadang hati terasa perit apabila orang yang kita anggap keluarga memencilkan kita.
Terkadang hati terasa pedih apabila mereka menghina kita dengan cacian dan tohmahan.
Terkadang hati terasa sayu apabila mengenangkan kembali kenangan lama yang indah dan manis sedangkan mereka yang wujud di kenangan lalu hilang entah ke mana, apa lagi sudah tiada di dunia.
Terkadang hati terasa pilu apabila teringat kembali memori pahit dan hitam tatkala melalui hidup yang serba kekurangan dan keseorangan.

Apabila kita sering berada di dalam kehidupan yang tidak tentu arah, derita sepanjang masa, ternoda dengan sikap iri hati, hasad dengki, tikam belakang, pendustaan semata-mata dalam berkata-kata, kita tidak dapat menemui kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian hati yang tidak semua orang dapat merasainya.

Kadang kala kita juga sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran dan halangan dalam menempuh hari-hari seterusnya. Dan apabila hari-hari yang sukar dan gelap melanda kehidupan, kita sering terasa ingin memberontak dan mahu pergi jauh dari segala sengsara yang mengekori.

Di mana kesabaran dan ketabahan tatkala kita sangat memerlukannya? Ke mana arahnya yang harus kita pergi disaat kita dirundum kejatuhan? Apa yang harus kita cari di ambang kegelapan dunia yang mencabar?

Pelbagai persoalan yang timbul dalam fikiran. Namun, otak yang ditugaskan untuk menjana pemikiran dan pelan tindakan tidak selalunya berfungsi dengan baik akibat dari kekacauan dari pihak-pihak yang sentiasa ingin mencari jalan untuk menjatuhkan maruah dan integriti kita. Dalang-dalang yang menjadi musuh ketat sering mengekori kita. Kesesatan yang mereka ingin kita lalui sering berada di hadapan kita. Laluan yang kelam dan suram, hitam dan jahil sering terbentang jelas luas seperti mengalu-alukan kedatangan kita. Kita juga sering lupa bahawa jalan yang tersembunyi dan lebih indah sering dahagakan kehadiran insan-insan yang tidak kita jauh tersesat atau sudah berada di laluan yang benar.

Kerana Dia Maha Tahu dan Maha Mengerti. Kerana Dia yang mencipta segalanya. Kerana Dia yang menyediakannya. Kita yang harus bijak memilih dengan tepat agar tidak diundang kemarahan dan kerunduman.

Segalanya terletak di tangan kita dengan izin Dia...